Tiga Tahun Lepas


Hari tu hari rabu, petang. Satu sms masuk ke ruang inbox. Lepas baca, terasa ada yang kurang sedap di hati. Segera mendail. 

Keputusan diambil. Aku mesti segera pulang ke kolej, dan terus bergerak ke rawang. Tiba di stesen ktm bersama adikku. Abangku sedia menanti. Kami akan pulang ke kampung. Ketika itu, seingat aku sudah masuk waktu maghrib. Kami tidak melengahkan masa, meneruskan perjalanan melalui highway ke timur. Sebaik sahaja melalui tol gombak, satu panggilan masuk ke telefon bimbit abangku. Selepas panggilan ditamatkan, meski tanpa diberitahu apa isi perbualan, kami faham. Al-fatihah. Blank seketika. Kemudian air mata bercucuran tanpa henti selama 4 jam perjalanan.

Tiba di perkarangan rumah, kelihatan ramai jiran-jiran memenuhi setiap pelosok ruang rumah. Tapi bukan itu yang jadi tumpuan, langkah segera masuk, mata melilau mencari kelibat mak. Segera bersalam. Tirai di penjuru rumah dibuka. Airmata makin laju meluahkan rasanya. Ku singkap kain yang menutupi wajah dia yang teramat ku sayang, ku kucup dahi, pipi dia yang sudah tidak bernyawa lagi. Tiada suara. Tiada gerakan nafas. Tiada apa-apa lagi. Mimpi ?? Tidak. Ini kenyataan. Kami segera mengambil wudhu', bacaan yaasin dialunkan tanpa henti. Bergilir-gilir bila malam semakin larut. Terus membaca hingga pagi ditemani airmata tanpa tindakbalas dari ayah lagi. Satu persatu kenangan menerjah, airmata semakin meluah rasa.


Pagi itu, kami sibuk memandikan, mengkafankan dan solat. Kucupan terakhir diberikan sebelum kain putih itu ditutup rapat dan diikat buat selama-lamanya. Airmata langsung tak dapat dibendung. Membuak-buak, kalau disediakan baldi, mungkin mampu memenuhi sebuah kolam. Usai jenazah diangkat keluar rumah, terasa sangat seolah-olah separuh jiwaku melayang pergi sama. Ayah... tiada lagi panggilan itu akan ku lontarkan. Basah. Airmata teman setia.

Hari ini, 28 April 2013 genap tiga tahun ayah pergi meninggalkan kami. Kami redha. Semoga Allah temukan kita di syurga. Ayah.... rindu ni tak pernah sikit pun surut. Makin bertambah.. Kadang kerinduan melampau ini tak terluah lagi. Hanya yang pernah mengalami mengetahui seksanya merindu, lagi parah merindu mereka yang tak akan kembali. Allah... mujur ada iman penyelamat kami. Hanya daripada Engkau kami datang, dan kepada Engkau kami akan dikembalikan :')

Kini, tiada lagi suara ayah. Tiada lagi gerak tubuh ayah. Tiada lagi nasihat. Tiada lagi tangan yang dapat ku kucup. Tiada macam-macam lagi yang berkaitan dengan ayah. Sungguh, aku rindu ! Tapi doa jadi penghubung. Doa mengubat rindu. Akan ku kirim pahala buatmu setiap saat. Ayah... damailah ayah bersama pencipta kita. Selesai sudah beban dan tanggungjawab yang kau pikul selama ini. Berehatlah ayah.. 
La Ilaha Illallah ✿ Allahu Akbar ✿ jom cipta bahagia
2leep.com

ARTIKEL MENARIK GILA, BUSUK & PINGJE